Halaman

Isnin, 6 Februari 2017

Seloka Ketuhanan

Catitan Ilmu Tauhid:
SELOKA KETUHANAN

Allah zat yang Maha Mulia,
Bersifat kesempurnaan itulah Dia,
Bersifat kekurangan semestinya tiada,
Wajib diyakini setiap manusia.

Wujud Allah wujud zati,
Wujud makhluk wujud aridi,
Wujud makhluk bertemu mati,
Wujud Allah kekal abadi.

Allah taala bersifat sedia,
Tiada permulaan itulah Dia,
Sedia hakiki zat dan sifatNya,
Tidak dicipta oleh sesiapa.

Kekal selamanya zat Yang Esa,
Tiada binasa kekalNya zati,
Kita makhluk wajib binasa,
Kalaupun kekal hanyalah aridi.

Berbeza Allah dengan yang baharu,
Berbeza zat, sifat dan af'alNya,
Tidak bertempat tidak berwaktu,
Tidak berjirim itulah Dia.

Tiada berhajat Yang Maha Kaya,
Tidak menumpang mahupun dicipta,
Semua makhluk berhajat padaNya,
Itulah Dia Maha Pencipta.

Tuhan kita hanyalah satu,
Tidak berbilang zat, sifat dan af'alNya,
Maha Esa tidak bersekutu,
Berbilang itu hanyalah makhlukNya.

Allah taala Maha Kuasa,
kuasa dengan sifat qudratNya,
Kita makhluk tidak berkuasa,
Sekalian mumkinat dita'luq qudratNya.

Allah Kita Maha kehendaki,
Kehendak dengan sifat iradatNya,
Segala sesuatu ditentukan Illahi,
Tidak berlaku tanpa ketentuanNya.

Allah taala Maha Mengetahui,
Tahu dengan sifat ilmuNya,
Sekalian perkara Dia ketahui,
Wajib mustahil harus semuanya.

Maha Hidup Tuhan kita,
Hidup dengan sifat hayat,
Mustahil mati Tuhan kita,
Adapun kita jadi mayat.

Tuhan kita Maha Melihat,
Mustahil Dia bersifat buta,
Melihat Dia segala maujudat,
Tiada sembunyi semuanya nyata.

Tuhan kita Maha Mendengar,
Mustahil pula bersifat tuli,
Segala maujud Dia dengar,
Bukan sekadar mendengar bunyi.

Allah Maha berkata-kata,
Berkata apa yang hendak dikata,
Lalu dijadikan huruf dan suara,
Agar difahami Nabi Musa.

Sekian sahaja seloka saya,
Untuk pengetahuan kita semua,
Bagi yang jahil sangatlah bahaya,
Mari mengaji muda dan tua.

#nukilanabumuyassir

@catitanilmutauhid

Rabu, 1 Februari 2017

Catitan Ilmu Tauhid 2

Pengajian Kitab dan Aktiviti:
Catitan Ilmu Tauhid:
❤️Kita makhluk, kita hidup dengan ruh yang dikapuh dengan sifat pehidup. Maka di sisi kita ada kam muttasil pada dzat.

❤️Jikalau kata ruh itu sifat, macam mana malaikat boleh cabut? Maka ruh itu suatu jirim yang lathif.

Semalam kulihat si dia elok bernafas seperti biasa.
Hari ini jasadnya kaku tidak lagi bernyawa.
Rupanya telah sampai masanya.
Masa yang tuhan telah tentu sejak dari dahulu kala.
Hari ini dia.
Esok mungkin kita.
Boleh jadi aku yang mendahului kalian semua.
Apakah syarat mati itu mesti sakit dan tua?
Banyak yang sihat-sihat telah mendahului kita.
Banyak yang mati tika sungguh muda usianya.
Ah..ngerinya mati jika dalam keadaan tidak mengenal sang pencipta.
Mari sekalian saudara kita belajar ilmu mengesakanNya.

@catitanilmutauhid

Catitan Ilmu Tauhid 1

Catitan Ilmu Tauhid:
🔊TANBIH 🔊

🎈Untuk kita ambil ilmu usuluddin ini, bukanlah dengan hanya melihat kepada mereka yang masyhur, atau melihat kepada mereka yang berpakaian seolah orang alim dengan berlebai dan berjubah pada zahirnya, kerana itu bukanlah ukuran yang menjamin bahawa mereka itu pandai dalam ilmu usuluddin. Tetapi ambillah ilmu itu daripada yang benar pandai dan ahli meskipun pakaiannya seperti orang awam yang lainnya sekalipun. Ini kerana, ilmu ini merupakan ilmu yang terpenting, silap sedikit maka gelincir aqidah.

🎈Tuk Der Sekam telahpun berpesan dengan pesanan yang sangat molek kita amati, di dalam kitabnya Tasil Dhu'afa :

"Maka hai sekalian kaum-kaumku, dan saudara-saudaraku. Hendaklah kamu membanyakkan pada belajar ilmu ugama bagi kamu, semetelah pula (lebih-lebih lagi) ilmu tauhid, ilmu usuluddin, kerana ini ilmu didahulukan dia di atas yang lain dan secita-cita barang yang masyghul (bersibuk) dengan dia oleh yang berakal pada melepaskan dirinya daripada kekal di dalam neraka. Semetelah pula pada ini zaman yang banyak fitnah dan kucar-kacir pada ilmu ini bahkan pada serba serbi.

Amboi ! Jarangnya mereka yang teguh ilmu tauhid pada masa yang susah ini.

Amboi ! Bertuahnya dan beruntungnya mereka yang ditaufiqkan dia bagi mengkejapkan aqoid iman.

Sedikitlah mereka yang mengetahuikan dia (aqoid iman) dan (sedikitlah) mereka yang boleh menjaga yang lain daripadanya pada masa ini.

Sungguhnya telah dibalakan dengan silap padanya (aqoid iman) akan mereka-mereka yang tidak disangka-sangkakan dengannya akan silap daripada mereka-mereka yang dimasyhurkan dengan berilmu.

Demikian juga dibalakan dengan jahil mereka yang tidak disangka-sangkakan dengan jahilnya kerana bersusuk dan bertabiat zohirnya dengan pandainya.

Maka berderu-deru dan penuh pena mereka-mereka yang percaya serta taqlid dan menurut dengan buta tulinya. Maka menariklah mereka itu (orang yang tidak disangkan akan silap dan jahil itu) akan segala yang percaya itu kepada ajaran yang tidak diketahui kemana halanya."

@catitanilmutauhid