Halaman

Rabu, 6 Disember 2017

Hukum Imam dan Makmum Berhimpun Pada Suatu Tempat






Kitab Al-Fatawal Fatoniyah, halaman 64 - Al-'Alim Al-'Allamah Az-Zaki Asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatoni

[16] Soal: Apa kata kamu pada orang yang sembahyang di dalam Masjid atau lainnya berimam dengan Imam yang di dalam kelambu dan Makmum itu diluarnya. Adakah sah mengikutnya dengan dia atau tiada sah?

Dan jikalau adalah kelambu itu kena najis oleh setengah-setengah tempat daripadanya dan setengah-setengahnya tiada kena najis. Adakah sah sembahyang di dalamnya atau tiada sah? Dan luas kelambu itu sekira-kira muat tiga puluh orang atau empat puluh.

[16] Jawab:

اللهم هداية للصواب رب زدني علما والحقنى بالصالحين

Tiada hamba lihat pada ketentuan kelambu itu akan sesuatu daripada nash fuqaha', melainkan bahawasa Ibnu Hajar (ابن حجر) di dalam Fathul Jawwad (فتح الجواد) berkata ia: "Seumpama pintu yang dikatupkan itu tabir yang dihulur turun." Dan mengikutkan dia padanya oleh tilmiznya (تلميذ), empunya Fathul Mu'in (فتح المعين).

Dan menaqalkan demikian itu oleh Kurdi (كردي) daripada Imdad (امداد) pada Hasyiyahnya (حاشيه) atas Syarah Ba Fadhah (شرح بافضل). Dan menaqalkan dia daripada Kurdi oleh Daghastani (داغستاني) di dalam Hasyiyah Tuhfah (حاشية تحفة) dan diam oleh keduanya atasnya. Dan bahawasa di dalam Anwar (أنوار) dan Mughni (مغنى) dan Nihayah (نهاية) khemah itu seperti rumah.

[Maka yuhtamal (يحتمل)], bahawa diqiyaskan kelambu yang tersebut itu atas tabir itu pada pihak dihulur turun akan tiap-tiap daripada keduanya dengan ketiadaan diikatkan tepi yang sebelah bawahnya dengan sekira-kira jikalau dikehendaki lalu, nescaya diangkatkan dengan mudah.

[Dan yuhtamal] bahawa diqiyaskan kelambu itu atas khemah pada meliputi sekalian pihak tiap-tiap daripad keduanya dan pada luas kelambu itu seperti khemah.

[Dan] qiyas yang pertama itu sayugia dijazamkan dengan dia kerana jauh wajah menyerupai kelambu yang boleh diangkat akan segala lambungnya dan sangkut akan dia dengan mudah itu dengan khemah yang dikejapkan pada bumi dengan diikatkan segala lambungnya pada beberapa penunggulnya, maka hampir menyerupa ia dengan rumah.

[Dan menyebut oleh fuhaqa'] bagi mengikut Makmum akan Imamnya empat kelakuan:

[Yang pertama]: Bahawa adalah keduanya di dalam Masjid, maka disyaratkan bagi sah mengikut pada kelakuan ini bahawa mumkin pergi Makmum kepada Imam sebagai pergi yang diadatkan. Dan jikalau dengan berpaling daripada kiblat sekalipun, atau jikalau dikatupkan pintu yang ada pada dinding yang di dalam Masjid itu sekalipun, sama ada katup serta dikuncikan atau tiada.

[Dan yang kedua]: Bahawa adalah Imam di dalam Masjid dan Makmum diluarnya.

[Dan yang ketiga]: 'Akasnya iaitu Imam diluar Masjid dan Makmum di dalamnya.

[Dan yang keempat]: Bahawa adalah keduanya diluar Masjid.

Maka disyaratkan pada tiga kelakuan yang kemudian ini bahawa mumkin sampai Makmum kepada Imam dengan lalu yang diadatkan dengan ketiadaan berpaling daripada kiblat dan bahawa tiada ada dinding antara keduanya. Maka jika ada dinding antara keduanya, nescaya tiada sah mengikut. Dan jika ada pada dinding itu pintu yang dikatupkan dia daripada permulaan mengikut sekalipun, dan jika dengan ketiadaan dikuncikan sekalipun. Bersalahan jikalau dikatupkan pada pertengahan mengikut, maka tiada memberi mudharat.

[Maka apabila] diketahuikan segala yang tersebut itu, diketahuilah [bahawasanya] jikalau adalah Imam dan Makmum yang salah seorang daripada keduanya di dalam kelambu dan seorang lagi diluarnya itu. (Jika) kedua-duanya di dalam Masjid, nescaya sah mengikut, dan jika adalah kelambu itu tebal dengan sekira-kira tiada dapat dilihatkan mereka yang ada pada sebelah sananya sekalipun kerana ia seperti tabir yang pada hukum pintu yang dikatupkan. Maka tiada menegah ia akan lalu pergi kepada Imam sebagai lalu yang diadatkan dan jika menegah ia akan melihat sekalipun.

[Dan bahawasanya] jikalau adalah salah seorang daripada keduanya atau adalah kedua-duanya diluar Masjid, nescaya tiada sah mengikut pada hal tiada diangkatkan barang yang dihulur turun daripada pihak belakang Imam. Atau pada hal tiada dibukakan pintunya yang pada pihak belakang Imam, jika ada baginya pintu. Kerana menegahnya akan nama berhimpun dan menegahnya akan melihat.

[Dan] difahamkan daripada ta'lil (تعليل) ini bahawasa tabir yang diberikan dia akan hukum pintu yang dikatupkan itu tabir yang tebal yang menegahkan melihat. Maka jika adalah tabir dan kelambu itu jarang keduanya dengan sekira-kira tiada menegah keduanya akan melihat, maka sayugia bahawa dijazamkan dengan sah mengikut, kerana tiada menegah keduanya akan lalu yang diadatkan dan tiada menegah keduanya akan lihat. Maka tiada menegah keduanya akan nama berhimpun di dalam satu tempat. والله سبحانه وتعالى اعلم


[Adapun] sembahyang di dalam kelambu yang kena najis ...................

Dirumikan Oleh: Muhamad Rauf bin Minhat



****************************************************

Dalam hadits daripada 'Aisyah disebutkan:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أَنَّ نِسْوَةً كُنَّ يُصَلِّيْنَ فِيْ حَجْرَتِهَا بِصَلاَةِ اْلإِمَامِ فَقَالَتْ: لاَ تُصَلِّيْنَ بِصَلاَةِ اْلإِمَامِ فَإِنَّكُنَّ دُوْنَهُ فِيْ حِجَابٍ.  رواه الشافعي والبيهقي


Daripada 'Aisyah: Suatu hari perempuan-perempuan pernah sembahyang di dalam biliknya mengikut sembahyang imam, lalu 'Aisyah berkata: Janganlah kamu salah menuruti imam kerana ada yang menutup antara kamu dengan imam itu.

***************************

Ruang sembahyang surau bertingkat yang mengikut Mazhab Syafi'i iaitu syarat berhimpun / berkumpul / lokasi.










































-------------








Ahad, 4 Jun 2017

Hukum Perempuan Musafir Tanpa Mahram

Tanbih – Haram lagi berdosa perempuan pergi mengerja haji sunat iaitu haji balas jika tiada berserta suaminya dan tiada berserta lelaki yang haram nikah sama ada perempuan yang ada suami atau perempuan yang tiada ada suami walaupun dengan izin suaminya, melarat berdosa atas kepala suaminya dengan beri izin itu kerana ridha dengan maksiat itu maksiat walaupun dengan beberapa perempuan yang kepercayaan. Maka haram lagi berdosa ia buka puasa yang wajib. Maka haram dibuka di dalam musafir itu dan haram lagi tiada sah ia sembahyang Jama’ Qasor dalam musafir itu.
Dan demikian lagi haram berdosa perempuan pergi musafir kepada tempat yang jauhnya dua marhalah dengan tiada berserta suaminya dan tiada berserta lelaki yang haram nikahnya seperti orang Kedah pergi Pulau Pinang dan Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur walaupun perempuan yang tua walaupun berserta beberapa perempuan yang kepercayaan itu haram. Maka haram ia buka puasanya, dan haram lagi tiada sah ia sembahyang Jama’ Qasor di dalam musafir itu dengan dalilnya hadits dan nas ulama’ yang saya tiada sebut di sini kerana jadi panjang استطراط. (Sullam Sibyan, halaman 402)

Jumaat, 24 Mac 2017

PERBEZAAN JIRIM, JISIM, JAUHAR DAN JAUHAR FIRID

Catitan Ilmu Tauhid:
Catitan Ilmu Tauhid:
PERBEZAAN JIRIM, JISIM, JAUHAR DAN JAUHAR FIRID.

🌀 Jirim dan jauhar bersatu makna iaitu sama makna. Cuma, istilah jirim lebih digunakan oleh ulama mutakallimin (ulama usuluddin) sedangkan istilah jauhar lebih digunakan oleh ulama dalam ilmu maqulat.

🌀 Jirim dan jisim ialah umum khusus mutlak. Jirim itu umum sedangkan jisim itu khusus. Tiap2 jisim adalah jirim tetapi tidak semestinya tiap2 jirim itu jisim.

🌀 SYARAT suatu jirim itu boleh dipanggil jisim adalah apabila ia boleh dibelah bahagi dengan ketiga2 jalan ini (di sisi ulama maqulat asyarah):
1⃣ Jalan KERAT (iaitu benda yang panjang dapat dikerat jadi pendek)
2⃣ Jalan BELAH (iaitu benda tebal dapat dibelah dua)
3⃣ Jalan KRISIK/RAUT/KIKIS

⚠️Jika suatu jirim itu tidak memenuhi syarat2 di atas 👆🏼, maka ia tidak boleh dipanggil jisim. Hanyalah jirim sahaja.

Contohnya:
✅Sebatang kayu yang panjang yang tebal, ia dapat dikerat, dibelah dan diraut. Maka batang kayu ini ialah jisim.
✅ Sehelai rambut yang panjang dapat dikerat, tetapi tidak dapat dibelah dan diraut. Maka ia tidak dipanggil jisim, hanya jirim sahaja.

🌀 Adapun di sisi ulama usuluddin, asalkan suatu jirim itu dapat dibahagi dengan mana-mana jalan sekalipun, maka ia dipangil jisim.

🌀 Jauhar firid atau jirim firid ialah suatu jirim yang tersangat kecil dan halus yang langsung tidak boleh dibelah bahagi dengan apa2 jalan sekalipun.

@catitanilmutauhid

Isnin, 6 Februari 2017

Seloka Ketuhanan

Catitan Ilmu Tauhid:
SELOKA KETUHANAN

Allah zat yang Maha Mulia,
Bersifat kesempurnaan itulah Dia,
Bersifat kekurangan semestinya tiada,
Wajib diyakini setiap manusia.

Wujud Allah wujud zati,
Wujud makhluk wujud aridi,
Wujud makhluk bertemu mati,
Wujud Allah kekal abadi.

Allah taala bersifat sedia,
Tiada permulaan itulah Dia,
Sedia hakiki zat dan sifatNya,
Tidak dicipta oleh sesiapa.

Kekal selamanya zat Yang Esa,
Tiada binasa kekalNya zati,
Kita makhluk wajib binasa,
Kalaupun kekal hanyalah aridi.

Berbeza Allah dengan yang baharu,
Berbeza zat, sifat dan af'alNya,
Tidak bertempat tidak berwaktu,
Tidak berjirim itulah Dia.

Tiada berhajat Yang Maha Kaya,
Tidak menumpang mahupun dicipta,
Semua makhluk berhajat padaNya,
Itulah Dia Maha Pencipta.

Tuhan kita hanyalah satu,
Tidak berbilang zat, sifat dan af'alNya,
Maha Esa tidak bersekutu,
Berbilang itu hanyalah makhlukNya.

Allah taala Maha Kuasa,
kuasa dengan sifat qudratNya,
Kita makhluk tidak berkuasa,
Sekalian mumkinat dita'luq qudratNya.

Allah Kita Maha kehendaki,
Kehendak dengan sifat iradatNya,
Segala sesuatu ditentukan Illahi,
Tidak berlaku tanpa ketentuanNya.

Allah taala Maha Mengetahui,
Tahu dengan sifat ilmuNya,
Sekalian perkara Dia ketahui,
Wajib mustahil harus semuanya.

Maha Hidup Tuhan kita,
Hidup dengan sifat hayat,
Mustahil mati Tuhan kita,
Adapun kita jadi mayat.

Tuhan kita Maha Melihat,
Mustahil Dia bersifat buta,
Melihat Dia segala maujudat,
Tiada sembunyi semuanya nyata.

Tuhan kita Maha Mendengar,
Mustahil pula bersifat tuli,
Segala maujud Dia dengar,
Bukan sekadar mendengar bunyi.

Allah Maha berkata-kata,
Berkata apa yang hendak dikata,
Lalu dijadikan huruf dan suara,
Agar difahami Nabi Musa.

Sekian sahaja seloka saya,
Untuk pengetahuan kita semua,
Bagi yang jahil sangatlah bahaya,
Mari mengaji muda dan tua.

#nukilanabumuyassir

@catitanilmutauhid

Rabu, 1 Februari 2017

Catitan Ilmu Tauhid 2

Pengajian Kitab dan Aktiviti:
Catitan Ilmu Tauhid:
❤️Kita makhluk, kita hidup dengan ruh yang dikapuh dengan sifat pehidup. Maka di sisi kita ada kam muttasil pada dzat.

❤️Jikalau kata ruh itu sifat, macam mana malaikat boleh cabut? Maka ruh itu suatu jirim yang lathif.

Semalam kulihat si dia elok bernafas seperti biasa.
Hari ini jasadnya kaku tidak lagi bernyawa.
Rupanya telah sampai masanya.
Masa yang tuhan telah tentu sejak dari dahulu kala.
Hari ini dia.
Esok mungkin kita.
Boleh jadi aku yang mendahului kalian semua.
Apakah syarat mati itu mesti sakit dan tua?
Banyak yang sihat-sihat telah mendahului kita.
Banyak yang mati tika sungguh muda usianya.
Ah..ngerinya mati jika dalam keadaan tidak mengenal sang pencipta.
Mari sekalian saudara kita belajar ilmu mengesakanNya.

@catitanilmutauhid

Catitan Ilmu Tauhid 1

Catitan Ilmu Tauhid:
🔊TANBIH 🔊

🎈Untuk kita ambil ilmu usuluddin ini, bukanlah dengan hanya melihat kepada mereka yang masyhur, atau melihat kepada mereka yang berpakaian seolah orang alim dengan berlebai dan berjubah pada zahirnya, kerana itu bukanlah ukuran yang menjamin bahawa mereka itu pandai dalam ilmu usuluddin. Tetapi ambillah ilmu itu daripada yang benar pandai dan ahli meskipun pakaiannya seperti orang awam yang lainnya sekalipun. Ini kerana, ilmu ini merupakan ilmu yang terpenting, silap sedikit maka gelincir aqidah.

🎈Tuk Der Sekam telahpun berpesan dengan pesanan yang sangat molek kita amati, di dalam kitabnya Tasil Dhu'afa :

"Maka hai sekalian kaum-kaumku, dan saudara-saudaraku. Hendaklah kamu membanyakkan pada belajar ilmu ugama bagi kamu, semetelah pula (lebih-lebih lagi) ilmu tauhid, ilmu usuluddin, kerana ini ilmu didahulukan dia di atas yang lain dan secita-cita barang yang masyghul (bersibuk) dengan dia oleh yang berakal pada melepaskan dirinya daripada kekal di dalam neraka. Semetelah pula pada ini zaman yang banyak fitnah dan kucar-kacir pada ilmu ini bahkan pada serba serbi.

Amboi ! Jarangnya mereka yang teguh ilmu tauhid pada masa yang susah ini.

Amboi ! Bertuahnya dan beruntungnya mereka yang ditaufiqkan dia bagi mengkejapkan aqoid iman.

Sedikitlah mereka yang mengetahuikan dia (aqoid iman) dan (sedikitlah) mereka yang boleh menjaga yang lain daripadanya pada masa ini.

Sungguhnya telah dibalakan dengan silap padanya (aqoid iman) akan mereka-mereka yang tidak disangka-sangkakan dengannya akan silap daripada mereka-mereka yang dimasyhurkan dengan berilmu.

Demikian juga dibalakan dengan jahil mereka yang tidak disangka-sangkakan dengan jahilnya kerana bersusuk dan bertabiat zohirnya dengan pandainya.

Maka berderu-deru dan penuh pena mereka-mereka yang percaya serta taqlid dan menurut dengan buta tulinya. Maka menariklah mereka itu (orang yang tidak disangkan akan silap dan jahil itu) akan segala yang percaya itu kepada ajaran yang tidak diketahui kemana halanya."

@catitanilmutauhid