Halaman

Selasa, 20 Oktober 2020

SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF

 


  SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF

ADAKAH SUNAT SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF DI DALAM SURAU ATAU BALAI IBADAT?
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf merupakan dua ibadat yang mempunyai kaifiyyat (cara) yang berbeza tetapi dilakukan di tempat yang sama iaitu masjid.

Namun yang menjadi kekeliruan di kalangan sebahagian orang, adakah sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf juga sunat dilakukan di dalam balai ibadat atau surau yang di dalamnya juga didirikan sembahyang berjemaah lima waktu penuh, sembahyang Jum‘at serta sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang Tarawih, sembahyang ‘Idil Fitri, sembahyang ‘Idil Adhha dan lain-lain.

Sebelum kita mengetahui mengenai dengan kedudukan hukum melakukan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf di tempat selain yang dinamakan masjid, kita perlu faham terlebih dahulu perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, i‘tikaf dan juga pengertian ‘masjid’ itu sendiri.



Beberapa Perkara Mengenai Sembahyang Sunat Tahiyyatul Masjid

Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid menurut syara‘ ialah sembahyang dua rakaat yang didirikan sebelum duduk apabila seseorang masuk ke dalam masjid sebagai menghormati masjid. Sembahyang ini sunat dilakukan berulang kali apabila seseorang itu berulang masuk ke dalam masjid. Sembahyang ini juga sunat dilakukan bagi seseorang yang masuk ke dalam masjid walaupun dia tidak bermaksud untuk duduk di dalamnya.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini berakhir atau luput waktunya apabila seseorang itu telah masuk ke dalam masjid dan telah duduk di dalamnya.

Adapun meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini dihukumkan makruh bagi sesiapa yang tiada halangan untuk melakukannya kecuali jika waktu sembahyang Jum‘at atau sembahyang lainnya sudah dekat untuk didirikan dan dia bimbang akan tertinggal atau terluput takbiratul ihram imam.

Bagi yang meninggalkannya disebabkan oleh perkara yang tidak memungkinkannya untuk melakukan sembahyang ini seperti disebabkan dia berhadats, maka disunatkan untuk mengucapkan zikir ini sebanyak 4 kali:

سُبْحَانَ الله وَالْحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksud: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tiada upaya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung.”


Apa Itu I‘tikaf?

I‘tikaf pula ialah duduk berhenti di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu (Islam, mumayyiz, berakal, suci daripada junub, haidh dan nifas) dengan niat.

I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai banyak kelebihan,  antaranya pembersihan hati dan jiwa daripada sifat-sifat yang tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadah kepada Allah demi memohon darjat yang tinggi, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.

I‘tikaf disyariatkan dalam Islam berdasarkan nash al-Qur’an dan as-Sunnah serta ijma‘ ulama.

Antara nash yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikaf itu ialah firman Allah Subhanahu wa Taala:

 ‚WWè UfÛSåèS£Y­HTWT‰STŽ `ySßKV…Wè WÜéSÉYÑHTWÆ Á %YŸY•HTfTT©WÙ<Ö@… ðÐ<ÕYŽ S èSŸSš JðY/@… ð„TWTÊ %†fTTTåéSTŠW£pTÍWTŽ ðÐYÖ.V¡VÒ ñûPXkW‰TSTÿ JðS/@… -YãYHTTWÿ…ƒò X§†PVÞYÕÖ `ySäPVÕWÅVÖ fûéSÍPVWTÿ
(سورة البقرة: 187)

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘ktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 187)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu  anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam beri‘tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda melakukan amalan i‘tikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikaf selepas itu”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Orang yang beri‘tikaf di dalam masjid dianjurkan untuk memperbanyakkan sembahyang sunat, berzikir kepada Allah Subhanahu wa Taala, berdoa meminta ampun (istighfar), mengucapkan shalawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau membaca Al-Qur’an di samping bacaan-bacaan lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.


Pengertian Masjid

Masjid dari segi bahasa ialah nama bagi tempat bersujud. Manakala dari segi syara‘ pula ialah mana-mana tempat di permukaan bumi. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ’Aisyah Radhiallahu ’anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

...... جُعِلَتْ لِى الأَرْضَ مَسْجِدًا...
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Namun begitu, ‘urf (kebiasaan) telah mengkhususkan masjid sebagai tempat untuk mengerjakan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat, sembahyang Hari-Hari Raya dan lain-lain ibadat seperti beri‘tikaf. Dengan demikian, mushalla atau surau tempat orang berkumpul di dalamnya pada Hari Raya dan yang seumpamanya tidak dihukumkan sebagai masjid. Begitu juga ribath (markas tentera atau tempat tinggal yang dibina untuk orang musafir atau orang miskin) dan sekolah tidak dihukumkan sebagai masjid, kerana ianya disediakan untuk kegunaan lain.

Jika kita melihat kepada fungsi tempat-tempat beribadat yang terdapat di negara kita ini serta struktur reka bentuk yang kadang-kadang sama antara bangunan-bangunan untuk beribadah antara satu dengan yang lain, memang  agak susah untuk dibezakan kecuali dilihat berdasarkan kepada nama tempat itu sendiri sama ada dinamakan masjid, surau, balai ibadat dan yang seumpamanya.


Bila Sesebuah Tempat Itu Dinamakan Masjid?

Para ulama mazhab asy-Syafieyah berpendapat mengenai masjid sebagaimana berikut:

      I.            Imam Az-Zarkasyi Rahimahullah ada menyebutkan:

لَوْ قَالَ: جَعَلْتُ هَذِهِ اْلبُقْعَةَ مَسْجِدًا، فَفِى اْلوَجِيْزِ: اَنَّهَا تَصِيْرُ مَسْجِدًا وَاِنْ لَمْ يَأْتِ بِلَفْظِ اْلوَقْفِ.

Ertinya: “Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.

         II.      As-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullah menyebutkan ketika mensyarahkan perkataan al-Khathib as-Syarbini Rahimahullah dalam syarat i‘tikaf di dalam masjid:

قَوْلُهُ: (فِي الْمَسْجِدِ) وَهُوَ مَا وَقَفَهُ الْوَاقِفُ مَسْجِدًا لاَ رِبَاطًا وَلاَ مَدْرَسَةً كَمَا أَفْتَى بِهِ ابْنُ عَبْدِ السَّلاَمِ




Ertinya: “Katanya: (di dalam masjid). Masjid itu ialah sesuatu yang diwaqafkan oleh pewaqafnya sebagai masjid, bukan ribath, bukan sekolah, sebagaimana yang difatwakan oleh Ibnu ‘Abd as-Salam.”

Beliau menambah lagi:

فَائِدَةٌ: أَفْتَى شَيْخُنَا زي بِأَنَّهُ لَوْ سَمَّرَ حَصِيْرًا أَوْ فَرْوَةً أَوْ سَجَّادَةً أَوْ بَنَى مِصْطَبَةً وَوَقَفَهَا مَسْجِدًا صَحَّ ذَلِكَ وَأَجْرَى عَلَيْهَا أَحْكَامَ الْمَسَاجِدِ، فَيَصِحُّ اْلاِعْتِكَافُ عَلَيْهَا وَيَحْرُمُ عَلَى الْجُنُبِ؛ وَنَحْوُهُ الْمُكْثُ عَلَيْهَا وَنَحْو ذَلِكَ اهـ عبد البر.

Ertinya: “Faedah: Guru kami Ali az-Ziyadi telah memfatwakan bahawa sesungguhnya jika seseorang memakukan tikar atau baju bulu unta atau sajadah atau dia membina tempat duduk dan diwaqafkannya sebagai masjid, sahlah (waqafnya) itu, dan diperlakukan atasnya hukum-hukum masjid. Maka sah i‘tikaf di atasnya dan haram ke atas orang junub; dan yang seumpamanya duduk diam di atasnya dan seumpama yang demikian itu. Selesai dinaqal oleh ‘Abd al-Barr.”

     III.      Imam ar-Ramli Rahimahullah pula menyebutkan:

وَخَرَجَ بِالْمَسْجِدِ الرِّبَاطُ وَمُصَلَّى اْلعِيْدِ وَمَا بُنِيَ فِي أَرْضٍ مُسْتَأْجَرَة عَلَى صُوْرَةِ الْمَسْجِدِ وَأَذِنَ بَانِيْهِ فِي الصَّلاَةِ فِيهِ

Ertinya: “Dan keluar dengan perkataan ‘masjid’ (iaitu tidak termasuk) ribath, surau tempat menunaikan sembahyang hari raya dan sesuatu yang dibina di atas tanah yang disewa berbentuk masjid dan orang yang membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya.”

     IV.      Imam al-Qalyubi Rahimahullah pula menjelaskan bahawa sesuatu yang bersamaan dengan bentuk masjid bukanlah menunjukkan ia sebagai sebuah masjid sebagaimana katanya:

وَشَمِلَ الْمَظْنُوْنَ بِاْلاِجْتِهَادِ لاَ بِالْقَرِيْنَةِ كَمَنَارَةٍ وَمِنْبَرٍ وَتَزْوِيقٍ وَشَرَارِيفٍ، فَلاَ دَلاَلَةِ فِي ذَلِكَ عَلَى الْمَسْجِدِيَّةِ

Ertinya: “Dan adakalanya (termasuk yang dinamakan masjid itu) yang disangkakan berdasarkan ijtihad, bukan berdasarkan qarinah (sesuatu yang menunjukkan bentuk masjid) seperti menara, mimbar, ukiran dan beranda, maka demikian itu tidak menunjukkan sebagai masjid.”

Oleh yang demikian, berdasarkan pandangan ulama di atas jika bangunan itu diwaqafkan untuk dijadikan masjid, jadilah ia masjid dan berlakulah ke atasnya hukum masjid seperti haram bagi orang yang haidh atau junub berhenti diam di dalamnya atau hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan masjid.

Begitu juga, jika tidak disebutkan lafaz waqaf tetapi diniatkan tempat itu untuk dijadikan sebagai masjid seperti seseorang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, mengikut keluasan tempat yang dimaksudkannya untuk dijadikan sebagai masjid. Manakala kawasan yang di luarnya tidaklah dikira sebagai masjid

Jika sesebuah bangunan itu pula hanya diwaqafkan untuk menunaikan sembahyang di dalamnya, bukan sebagai masjid, maka tidaklah bangunan itu menjadi masjid.


Adakah Disunatkan Melakukan Sembahyang Tahiyyatul Masjid Dan I‘tikaf  Di Dalam Bangunan Selain Masjid?

Jika dilihat kepada hukum asal sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf, kedua-duanya hanya sunat dilakukan di dalam sesebuah tempat yang dinamakan masjid. Ini kerana:

1.    Tujuan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dikerjakan adalah sebagai menghormati masjid.

2.    Masjid merupakan salah satu rukun atau syarat sah i‘tikaf.

Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf itu di dalam balai ibadat atau surau. Ini kerana memang jelas nama balai ibadat atau surau itu bukan dimaksudkan sebagai masjid walaupun didirikan di dalamnya sembahyang berjemaah lima waktu, sembahyang Jumaat serta sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idil Fitri, ‘Idil Adhha dan lain-lain.


Dalam kontek Negara Brunei Darussalam, untuk mendirikan masjid itu terikat kepada peraturan-peraturan mengenainya sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) Bab 124.



http://fatwairsyadbrunei.blogspot.com/2015/05/adakah-sunat-sembahyang-tahiyyatul.html?m=1





-------------------










PERBEZAAN MASJID DAN SURAU






PANDUAN HUKUM : PERBEZAAN MASJID DAN SURAU

Alyasak Berhan


1) Masjid adalah sebuah kawasan atau bangunan yang diwakafkan sebagai masjid, bukan untuk yang lainnya seperti madrasah atau ribat.

2) Musolla, surau dan langgar yang digunakan untuk solat lima waktu (walaupun telah dibenarkan untuk didirikan solat Jumaat) tidaklah secara serta merta dihukumkan sebagai masjid selagimana ia tidak diwakafkan sebagai masjid.

3) Justeru, tidak dianjurkan untuk melakukan solat tahiyyat masjid, iktikaf dan tidak haram bagi orang yang berjunub atau wanita yang haid untuk duduk di dalam binaan selain masjid seperti surau, musolla, langgar dan sebagainya.



Rujukan;


1. Asna al-Matalib :

(فرع)  لو ( قال جعلت هذا المكان مسجدا صار ) به ( مسجدا ولو لم يقل لله ) ولم يأت بشيء من الألفاظ المتقدمة لإشعاره بالمقصود واشتهاره فيه ( ووقفته للصلاة كناية) في وقفه مسجدا فيحتاج إلى نية جعله مسجدا وأما كونه وقفا بذلك فصريح لا يحتاج إلى نية ( لا ) إن بنى بناء ولو على هيئة المسجد وقال ( أذنت في الصلاة فيه ) فلا يصير بذلك مسجدا ، وإن صلى فيه ونوى جعله مسجدا قال في الكفاية تبعا للماوردي إلا أن يكون البناء بموات فيصير مسجدا بالبناء والنية لأن الفعل مع النية يغني عن القول أي فيما بنى في موات قال السبكي الموات لم يدخل في ملك من أحياه مسجدا ، وإنما احتيج للفظ لإخراج ما كان في ملكه عنه وصار للبناء حكم المسجد تبعا قال الإسنوي وقياس ذلك إجراؤه في غير المسجد أيضا من المدارس والربط وغيرهما وكلام الرافعي في إحياء الموات يدل له انتهى والظاهر أنه لو قال أذنت في الإعتكاف فيه صار بذلك مسجدا لأن الإعتكاف لا يصح إلا في مسجد بخلاف الصلاة
Kalau seseorang berkata; ‘saya jadikan tempat ini sebagai masjid’, maka tempat tersebut akan menjadi masjid dengan ucapannya itu walaupun dia tidak berkata ‘kerana Allah’ serta dia tidak mengucapkan sighah-sighah wakaf yang terdahulu, kerana ungkapannya itu telah menunjukkan tujuan perwakafannya dan telah terkenal (lafaz tersebut) dalam perwakafan. Manakala perkataan ‘saya wakafkan tempat ini untuk solat’, adalah merupakan lafaz kinayah dalam perwakafan untuk menjadikannya sebagai masjid. Maka untuk keabsahannya sebagai masjid masih memerlukan niat menjadikannya sebagai masjid. Sementara untuk status perwakafannya sebagai tempat solat, ucapan tersebut merupakan sighah soreh yang tidak memerlukan niat lagi. Tidak juga menjadikan ia sebagai masjid apabila dia mendirikan sebuah bangunan, meskipun berbentuk bangunan masjid. Begitu juga andainya dia berkata ‘saya izinkan solat di tempat ini’ maka dengan perkataan tersebut, tempat yang dimaksudkan itu tidak menjadi masjid walaupun dia solat di tempat itu dan meniatkannya menjadi masjid. Di dalam al-Kifayah yang mengikut pendapat al-Mawardi, Ibn Rif’ah berkata; “kecuali bangunan itu dia dirikan di tanah mawat (tanah yang tiada pemilik dan tidak dimanfaatkan oleh sesiapa), maka tempat tersebut akan menjadi masjid dengan sebab pembinaan dan niat menjadikannya sebagai masjid tanpa memerlukan ucapan sighah wakaf dalam bangunan di tanah mawat tersebut”. Al-Subki menyatakan; “tanah mawat tersebut tidak boleh dimiliki oleh orang yang membukanya sebagai masjid. Sementara ucapan sighah wakaf hanya diperlukan untuk mengeluarkan tempat tersebut daripada pemilikannya dan tanah mawat tersebut akan dihukumkan sebagai masjid kerana mengikut pembangunannya”. Al-Isnawi berpendapat, qiasnya ketentuan tersebut juga berlaku dalam pembangunan selain masjid, iaitu madrasah, ribat dan seumpamanya. Pendapat al-Rifa’ie dalam bab ihya’ al-mawat juga menunjukkan sedemikian. Jelasnya, apabila seseorang berkata; ‘saya izinkan iktikaf di tempat ini’, maka tempat yang dimaksudkan akan menjadi masjid kerana iktikaf hanya sah dilakukan di masjid.”

2. Tuhfah al-Muhtaj :

والأصح وإن نازع فيه الأسنوى وغيره أن قوله جعلت البقعة مسجدا من غير نية صريح فحينئد تصير به مسجدا وإن لم يأت بلفظ مما مر لأن المسجد لا يكون إلا وقفا.
"Menurut pendapat yang asah, meskipun ditentang oleh al-Asnawi dan lainnya bahawa sesungguhnya perkataan seseorang; “aku jadikan tempat ini sebagai masjid” tanpa niat itu dikirakan sebagai lafaz soreh (wakaf). Maka ketika itu (tempat itu) akan menjadi masjid meskipun tidak didatangkan dengan lafaz-lafaz yang telah lalu (dinyatakan), KERANA ia tidak berstatus masjid melainkan perwakafan (tiada masjid yang bukan wakaf).”

3. Nihayah al-Muhtaj :

والأصح وإن نازع فيه الأسنوى أن قوله جعلت البقعة مسجدا من غير نية صريح حينئد تصير به مسجدا وإن لم يأت بشيء مما مر لأن المسجد لا يكون إلا وقفا.
"Menurut pendapat yang asah, meskipun ditentang oleh al-Asnawi, bahawa sesungguhnya perkataan seseorang; “aku jadikan tempat ini sebagai masjid” tanpa niat itu dikirakan sebagai lafaz soreh (wakaf). Ketika itu (tempat itu) akan menjadi masjid meskipun tidak didatangkan dengan sesuatu (lafaz) yang telah lalu (dinyatakan), KERANA ia tidak berstatus masjid melainkan perwakafan (tiada masjid yang bukan wakaf).”

4. Mughni al-Muhtaj :

والأصح أن قوله جعلت هذه البقعة مسجدا وإن لم يكن لله تصير به أي بمجرد هذا اللفظ مسجدا لأن المسجد لا يكون إلا وقفا فأغنى لفظه عن لفظ الوقف ونحوه.
"Menurut pendapat yang asah, bahawa sesungguhnya perkataan seseorang; “aku jadikan tempat ini sebagai masjid” walaupun tanpa ‘kerana Allah’, nescaya jadilah (tempat tersebut) dengan semata-mata lafaz ini sebagai masjid KERANA ia tidak berstatus masjid melainkan perwakafan (tiada masjid yang bukan wakaf). Maka lafaznya tidak memerlukan kepada lafaz ‘wakaf’ dan seumpamanya.”

5. Hasyiah al-Bujairimi :


قوله: (في المسجد) وهو ما وقفه الواقف مسجدا لا رباطا ولا مدرسة كما أفتى به ابن عبد السلام
“Katanya: (di dalam masjid). Masjid itu adalah sesuatu yang diwakafkan oleh pewakaf sebagai masjid, bukan ribat, bukan madrasah sebagaimana yang telah difatwakan oleh Ibnu ‘Abd al-Salam.”

6. Hasyiah al-Syarqawi :

فى المسجد وهو ما وقفه الواقف مسجدا لا رباطا ولا مدرسة
"Di dalam masjid; ia adalah suatu tempat yang telah diwakafkan oleh pewakaf sebagai masjid bukan sebagai pondok atau madrasah."


7. Hasyiah al-Syarwani :

وخرج بالمسجد مصلى العيد وما بنى فى أرض مستأجرة على صورة المسجد وأذن بانيه فى الصلاة فيه
"Bukan termasuk masjid adalah; tempat solat hari raya dan sesuatu yang dibangunkan di atas tanah persewaan dengan model bangunan masjid dan pendirinya mengizinkan untuk dibuat solat di situ."

8. Hasyiah I'anah al-Talibin :

ووقفته للصّلاة أى إذا قال الواقف وقفت هذا المكان للصّلاة فهو صريح فى مطلق الوقفيّة وكناية فى خصوص المسجديّة فلا بدّ من نيّتها فإن نوى المسجديّة صار مسجدا وإلاّ صار وقفا على الصّلاة فقط ولم يكن مسجدا كالمدرسة
"Dan saya wakafkan tempat ini untuk solat; ertinya ketika orang yang berwakaf mengatakan 'saya mewakafkan tempat ini untuk solat', maka itu adalah perkataan yang soreh (jelas) untuk wakaf secara umum. Ia dikirakan kinayah untuk mengkhususkannya sebagai masjid, maka perlu ada niat sebagai masjid. Jika orang yang berwakaf itu berniat sebagai masjid, maka ia akan menjadi masjid dan jika tidak diniatkan menjadi masjid, maka ia hanya menjadi perwakafan untuk solat sahaja, bukan masjid sepertimana madrasah."

9. Bughyah al-Mustarsyidin :

فلو رأينا محلا مهيّأ للصّلاة ولم يتواتر بين الناس أنّه مسجد لم يجب التزام أحكام المسجديّة فيه
"Jika kita melihat tempat yang diperuntukkan untuk solat, dan manusia tidak menganggap yang demikian itu sebagai masjid, maka ia tidak boleh ditetapkan sebagai hukum masjid."

10. 'Umdah al-Mufti wa al-Mustafti :

ولا تصير الأرض مسجدا إلا إذا كانت ملكه وقال ' جعلت هذه البقعة مسجدا'...وإذا بنى الشخص في ملكه صورة مسجد فلا تصير البقعة مسجدا إلا إذا وقفها مسجدا أو قال 'جعلت هذه مسجدا' كما في المنهاج. فلا تصير البقعة مسجدا بمجرد البناء إلا إذا كانت مواتا وعمر فيها صورة مسجد، فإنها تصير مسجدا من غير لفظ كما في التحفة وقد سبق.
"Sesuatu bumi itu tidak akan menjadi masjid melainkan apabila bumi itu telah dimilikinya dan dia telah berkata; 'aku jadikan kawasan ini sebagai masjid....'Dan apabila seseorang membina model bangunan masjid di dalam tanah miliknya, maka kawasan itu tidaklah terus menjadi masjid melainkan apabila dia mewakafkannya sebagai masjid atau dia berkata 'aku jadikan ia sebagai masjid' sepertimana yang disebutkan di dalam kitab al-Minhaj. Justeru, sesuatu kawasan itu tidak akan menjadi masjid dengan semata-mata binaan melainkan apabila kawasan itu merupakan mawat (tanah yang tiada pemilik dan tidak dimanfaatkan oleh sesiapa) serta dia telah membina model bangunan masjid, maka ia akan menjadi masjid tanpa lafaz sepertimana disebutkan dalam Tuhfah -yang telah lalu."


11. Al-Manhal al-Naddhakh fi Ikhtilaf al-Asyyakh :

مسألة: لو بني بناء على هيئة مسجد وقال 'أذنت في الإعتكاف فيه' لم يصر بمجرد ذلك مسجدا عند م ر. وقالا يصير مسجدا به لأن الإعتكاف لا يصح إلا في المسجد
Permasalahan : “Sekiranya dia mendirikan sebuah bangunan berbentuk bangunan masjid dan dia berkata; ‘saya izinkan iktikaf di tempat ini’, (maka tempat yang dimaksudkan itu) tidak akan menjadi masjid dengan semata-mata perkataan tersebut menurut Syeikh al-Ramli. Manakala menurut Ibn Hajar dan Khatib al-Syirbini (begitu juga Syeikh Zakaria al-Ansari di dalam Asna al-Matalib), ia akan menjadi masjid dengan semata-mata perkataan tersebut kerana iktikaf tidak sah dilakukan melainkan di masjid.”

12. Nihayah al-Zain :

ومثل الإعتكاف صلاة التحية فلو قال أذنت في صلاة التحية في هذا المحل صار مسجدا لأنها لا تكون إلا في المسجد ولو بنى البقعة على هيئة المسجد لا يكون البناء كناية وإن أذن في الصلاة فيه إلا في موات فيصير مسجدا بمجرد البناء مع النية...الخ
Dan sepertimana iktikaf, adalah solat tahiyyat masjid. Maka apabila seseorang berkata; ‘saya izinkan solat tahiyyat di tempat ini’, maka tempat tersebut menjadi masjid kerana solat tahiyyat hanya sah dilakukan di masjid. Sekiranya seseorang mendirikan bangunan berbentuk bangunan masjid, maka pembangunan yang dilakukannya tidak menjadi kinayah dalam perwakafan masjid meskipun dia mengizinkan untuk bersolat di dalamnya kecuali tanah mawat (tanah yang tiada pemilik dan tidak dimanfaatkan oleh sesiapa). Maka jadilah ia (tanah mawat) itu masjid dengan semata-mata pembangunan tersebut beserta niat menjadikan ia masjid.”

13. Himpunan Fatwa, Dato' Hj Abu Hasan b. Hj Sail, Mufti N. Sembilan ke-2 m/s 14;

Soalan:
Balai raya yang dibenar mendirikan sembahyang Jumaat, adakah dikehendaki seorang itu mengerjakan tahiyyat masjid apabila memasukinya?  
Jawapan:
Tiada tahiyyat masjid di tempat yang dibolehkan mendirikan sembahyang Jumaat. Sembahyang tahiyyat hanya dibuat di masjid sahaja.

14. Himpunan Fatwa Negeri Kedah m/s 138 jil. 1;

Soalan;  
Cara bagaimanakah boleh diithbatkan (ditetapkan) sesebuah bangunan itu menjadi masjid dan thabit padanya hukum-hukum masjid?  
Jawapan; 
Thabit sesebuah bangunan itu menjadi masjid dengan mana-mana satu cara seperti di bawah ini;  
1) Soreh lafaz wakaf untuk dijadikan masjid. 
2) Lafaz kinayah wakaf untuk didirikan sembahyang dengan niat untuk dijadikan wakaf masjid. 
3) Dibina masjid di dalam tempat yang belum diteroka (أرض الموات) dengan hanya niat sahaja. 
4) Kutipan umpama derma bagi tujuan membina masjid.

15. Himpunan Fatwa Negeri Kedah m/s 149 jil. 1;
Soalan;  
Adakah harus surau, musolla dan madrasah dinaikkan taraf sebagai masjid?  
Jawapan; 
Difahamkan dari nas Tuhfah al-Muhtaj juzuk 6 hal. 251- bahawa setiap wakaf adalah menurut lafaz wakif (pewakaf) dan niatnya. Di dalam masalah surau, musolla dan madrasah yang biasanya digunakan untuk belajar umumi dan bersembahyang jemaah semuanya tertakluk kepada lafaz niat wakif (pewakaf) dan tertakluk kepada syarat wakif (pewakaf) itu. Jika diwakafkan untuk sembahyang padanya, ia adalah kinayah bagi masjid dan bangunan itu tidak akan menjadi masjid kecuali diniatkan sebagai masjid. Jika tidak, maka ia adalah wakaf untuk tempat bersembahyang sahaja...

16. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak;

Hukum Iktikaf Di Dalam Surau Yang Mendirikan Solat Jumaat
Tarikh Keputusan: 3 Mar, 2005 
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada hari ini 22 Muharram 1425 bersamaan 3 Mac 2005 buat kali ke 165 bersetuju bahawa tidak sah iktikaf dan tidak boleh solat tahiyyatul masjid di dalam surau diri Jumaat. 
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan


Nombor Rujukan: 165

(http://www.e-fatwa.gov.my/…/hukum-iktikaf-di-dalam-surau-ya…)

17. Fatwa Negara Brunei Darus Salam :
"Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf itu di dalam balai ibadat atau surau. Ini kerana memang jelas nama balai ibadat atau surau itu bukan dimaksudkan sebagai masjid walaupun didirikan di dalamnya sembahyang berjemaah lima waktu, sembahyang Jumaat serta sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idil Fitri, ‘Idil Adhha dan lain-lain.


https://tolibilmi.blogspot.com/2015/11/perbezaan-masjid-dan-surau.html?m=1





--------------------------