ADAKAH SUNAT SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF DI DALAM SURAU ATAU BALAI IBADAT?
|
بسم
الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang sunat
Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf merupakan dua ibadat yang mempunyai kaifiyyat
(cara) yang berbeza tetapi dilakukan di tempat yang sama iaitu masjid.
Namun yang menjadi
kekeliruan di kalangan sebahagian orang, adakah sembahyang sunat Tahiyyatul
Masjid dan i‘tikaf juga sunat dilakukan di dalam balai ibadat atau surau
yang di dalamnya juga didirikan sembahyang berjemaah lima waktu penuh,
sembahyang Jum‘at serta sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang Tarawih,
sembahyang ‘Idil Fitri, sembahyang ‘Idil Adhha dan lain-lain.
Sebelum kita mengetahui mengenai dengan
kedudukan hukum melakukan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf di tempat selain yang dinamakan masjid, kita perlu
faham terlebih dahulu perkara-perkara yang berkaitan
dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, i‘tikaf dan juga pengertian
‘masjid’ itu sendiri.
Beberapa Perkara Mengenai Sembahyang Sunat
Tahiyyatul Masjid
Sembahyang sunat Tahiyyatul
Masjid menurut syara‘ ialah sembahyang dua rakaat yang didirikan
sebelum duduk apabila seseorang masuk ke dalam masjid sebagai menghormati
masjid. Sembahyang ini sunat dilakukan berulang kali apabila seseorang itu
berulang masuk ke dalam masjid. Sembahyang ini juga sunat dilakukan bagi
seseorang yang masuk ke dalam masjid walaupun dia tidak bermaksud untuk duduk
di dalamnya.
Diriwayatkan
daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى
يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk
ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang
dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini berakhir atau luput waktunya apabila
seseorang itu telah masuk ke dalam masjid dan telah duduk di dalamnya.
Adapun meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini dihukumkan
makruh bagi sesiapa yang tiada halangan untuk melakukannya kecuali jika waktu
sembahyang Jum‘at atau sembahyang lainnya
sudah dekat untuk didirikan dan dia bimbang akan tertinggal atau terluput takbiratul
ihram imam.
Bagi yang meninggalkannya disebabkan oleh perkara yang tidak
memungkinkannya untuk melakukan sembahyang ini seperti disebabkan dia
berhadats, maka disunatkan untuk mengucapkan zikir ini sebanyak 4 kali:
Maksud: Maha Suci Allah,
segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tiada upaya serta
kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung.”
Apa Itu I‘tikaf?
I‘tikaf pula ialah duduk berhenti di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu
(Islam, mumayyiz, berakal, suci daripada junub, haidh dan nifas) dengan niat.
I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai banyak kelebihan, antaranya pembersihan hati dan jiwa daripada
sifat-sifat yang tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadah kepada Allah
demi memohon darjat yang tinggi, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang
menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.
I‘tikaf disyariatkan dalam Islam berdasarkan nash al-Qur’an dan as-Sunnah serta ijma‘ ulama.
Antara nash yang menunjukkan tentang
tuntutan i‘tikaf itu ialah firman Allah Subhanahu wa Taala:
‚WWè UfÛSåèS£YHTWT‰STŽ `ySßKV…Wè WÜéSÉYÑHTWÆ Á %YŸY•HTfTT©WÙ<Ö@… ðÐ<ÕYŽ S èSŸSš JðY/@… ð„TWTÊ %†fTTTåéSTŠW£pTÍWTŽ ðÐYÖ.V¡VÒ ñûPXkW‰TSTÿ JðS/@… -YãYHTTWÿ…ƒò X§†PVÞYÕÖ `ySäPVÕWÅVÖ fûéSÍPVWTÿ
(سورة البقرة: 187)
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu
ketika kamu sedang beri‘ktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah,
maka janganlah kamu menghampirinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat
hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah:
187)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan
daripada Aisyah Radhiallahu anha,
beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ
الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ
أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
(رواه البخاري)
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Baginda melakukan amalan i‘tikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para
isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikaf selepas itu”.
(Hadits riwayat
al-Bukhari)
Orang yang beri‘tikaf
di dalam masjid dianjurkan untuk memperbanyakkan sembahyang sunat, berzikir
kepada Allah Subhanahu wa Taala, berdoa meminta ampun (istighfar),
mengucapkan shalawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
atau membaca Al-Qur’an di samping bacaan-bacaan lain yang boleh mendekatkan
diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.
Pengertian Masjid
Masjid dari segi bahasa ialah nama bagi tempat
bersujud. Manakala dari segi syara‘ pula ialah mana-mana tempat di
permukaan bumi. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ’Aisyah Radhiallahu
’anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
......
جُعِلَتْ لِى الأَرْضَ مَسْجِدًا...
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid
(tempat bersujud).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Namun begitu, ‘urf
(kebiasaan) telah mengkhususkan masjid sebagai tempat untuk mengerjakan
sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat, sembahyang Hari-Hari Raya dan
lain-lain ibadat seperti
beri‘tikaf. Dengan demikian, mushalla atau surau tempat orang berkumpul di dalamnya pada
Hari Raya dan yang seumpamanya tidak dihukumkan sebagai masjid. Begitu juga ribath
(markas tentera atau tempat tinggal yang dibina untuk orang musafir atau
orang miskin) dan sekolah tidak dihukumkan sebagai masjid, kerana ianya disediakan
untuk kegunaan lain.
Jika
kita melihat kepada fungsi tempat-tempat beribadat yang terdapat di negara kita
ini serta struktur reka bentuk yang kadang-kadang sama antara bangunan-bangunan
untuk beribadah antara satu dengan yang lain, memang agak susah untuk dibezakan kecuali dilihat
berdasarkan kepada nama tempat itu sendiri sama ada dinamakan masjid, surau,
balai ibadat dan yang seumpamanya.
Bila Sesebuah
Tempat Itu Dinamakan Masjid?
Para ulama mazhab
asy-Syafieyah berpendapat mengenai masjid sebagaimana berikut:
I.
Imam Az-Zarkasyi Rahimahullah
ada menyebutkan:
لَوْ
قَالَ: جَعَلْتُ هَذِهِ اْلبُقْعَةَ مَسْجِدًا، فَفِى اْلوَجِيْزِ: اَنَّهَا
تَصِيْرُ مَسْجِدًا وَاِنْ لَمْ يَأْتِ بِلَفْظِ اْلوَقْفِ.
Ertinya: “Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan
sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia
masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.
II.
As-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullah
menyebutkan ketika mensyarahkan perkataan al-Khathib as-Syarbini Rahimahullah
dalam syarat i‘tikaf di dalam masjid:
قَوْلُهُ:
(فِي الْمَسْجِدِ) وَهُوَ مَا وَقَفَهُ الْوَاقِفُ مَسْجِدًا لاَ رِبَاطًا وَلاَ
مَدْرَسَةً كَمَا أَفْتَى بِهِ ابْنُ عَبْدِ السَّلاَمِ
Ertinya: “Katanya: (di dalam masjid). Masjid itu ialah sesuatu yang diwaqafkan
oleh pewaqafnya sebagai masjid, bukan ribath, bukan sekolah, sebagaimana yang
difatwakan oleh Ibnu ‘Abd as-Salam.”
Beliau menambah
lagi:
فَائِدَةٌ:
أَفْتَى شَيْخُنَا زي بِأَنَّهُ لَوْ سَمَّرَ حَصِيْرًا أَوْ فَرْوَةً أَوْ
سَجَّادَةً أَوْ بَنَى مِصْطَبَةً وَوَقَفَهَا مَسْجِدًا صَحَّ ذَلِكَ وَأَجْرَى
عَلَيْهَا أَحْكَامَ الْمَسَاجِدِ، فَيَصِحُّ اْلاِعْتِكَافُ عَلَيْهَا وَيَحْرُمُ
عَلَى الْجُنُبِ؛ وَنَحْوُهُ الْمُكْثُ عَلَيْهَا وَنَحْو ذَلِكَ اهـ عبد البر.
Ertinya: “Faedah: Guru kami Ali
az-Ziyadi telah memfatwakan bahawa sesungguhnya jika seseorang memakukan tikar
atau baju bulu unta atau sajadah atau dia membina tempat duduk dan
diwaqafkannya sebagai masjid, sahlah (waqafnya) itu, dan diperlakukan atasnya
hukum-hukum masjid. Maka sah i‘tikaf di atasnya dan haram ke atas orang junub;
dan yang seumpamanya duduk diam di atasnya dan seumpama yang demikian itu. Selesai dinaqal oleh ‘Abd al-Barr.”
III.
Imam ar-Ramli Rahimahullah
pula menyebutkan:
وَخَرَجَ
بِالْمَسْجِدِ الرِّبَاطُ وَمُصَلَّى اْلعِيْدِ وَمَا بُنِيَ فِي أَرْضٍ
مُسْتَأْجَرَة عَلَى صُوْرَةِ الْمَسْجِدِ وَأَذِنَ بَانِيْهِ فِي الصَّلاَةِ
فِيهِ
Ertinya: “Dan keluar dengan perkataan ‘masjid’
(iaitu tidak termasuk) ribath, surau tempat menunaikan sembahyang hari raya dan
sesuatu yang dibina di atas tanah yang disewa berbentuk masjid dan orang yang
membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya.”
IV.
Imam al-Qalyubi Rahimahullah pula
menjelaskan bahawa sesuatu yang bersamaan dengan bentuk masjid bukanlah
menunjukkan ia sebagai sebuah masjid sebagaimana katanya:
وَشَمِلَ
الْمَظْنُوْنَ بِاْلاِجْتِهَادِ لاَ بِالْقَرِيْنَةِ كَمَنَارَةٍ وَمِنْبَرٍ
وَتَزْوِيقٍ وَشَرَارِيفٍ، فَلاَ دَلاَلَةِ فِي ذَلِكَ عَلَى الْمَسْجِدِيَّةِ
Ertinya: “Dan adakalanya (termasuk yang
dinamakan masjid itu) yang disangkakan berdasarkan ijtihad, bukan berdasarkan
qarinah (sesuatu yang menunjukkan bentuk masjid) seperti menara, mimbar, ukiran
dan beranda, maka demikian itu tidak menunjukkan sebagai masjid.”
Oleh yang demikian,
berdasarkan pandangan ulama di atas jika bangunan itu
diwaqafkan untuk dijadikan masjid, jadilah ia masjid dan berlakulah ke atasnya
hukum masjid seperti haram bagi orang yang haidh atau junub berhenti diam
di dalamnya atau hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan masjid.
Begitu juga, jika tidak disebutkan lafaz waqaf
tetapi diniatkan tempat itu untuk dijadikan sebagai masjid seperti
seseorang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah
tempat itu sebagai masjid, mengikut keluasan tempat yang dimaksudkannya
untuk dijadikan sebagai masjid. Manakala kawasan yang di luarnya tidaklah
dikira sebagai masjid
Jika sesebuah bangunan itu pula hanya diwaqafkan
untuk menunaikan sembahyang di dalamnya, bukan sebagai masjid, maka tidaklah
bangunan itu menjadi masjid.
Adakah
Disunatkan Melakukan Sembahyang Tahiyyatul Masjid Dan I‘tikaf Di Dalam
Bangunan Selain Masjid?
Jika dilihat kepada
hukum asal sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf, kedua-duanya hanya sunat dilakukan di dalam
sesebuah tempat yang dinamakan masjid. Ini kerana:
1.
Tujuan
sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dikerjakan adalah sebagai menghormati
masjid.
2.
Masjid
merupakan salah satu rukun atau syarat sah i‘tikaf.
Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat
Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf itu di dalam balai ibadat atau surau. Ini
kerana memang jelas nama balai ibadat atau surau itu bukan dimaksudkan sebagai
masjid walaupun didirikan di dalamnya sembahyang berjemaah lima waktu,
sembahyang Jumaat serta sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idil
Fitri, ‘Idil Adhha dan lain-lain.
Dalam kontek Negara Brunei Darussalam, untuk
mendirikan masjid itu terikat kepada peraturan-peraturan mengenainya
sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Majlis Ugama Islam dan
Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) Bab 124.
http://fatwairsyadbrunei.blogspot.com/2015/05/adakah-sunat-sembahyang-tahiyyatul.html?m=1