KHILAF ULAMA SYAFI‘I TENTANG TAKRIF MAKMUM MASBUQ DAN MUWAFIQ
.
Soalan: Siapakah sebenarnya makmum masbuq menurut mazhab Syafi‘i? Adakah setiap orang yang datang lewat solat berjemaah dianggap masbuq? Apakah perbezaan pendapat ulama dalam menentukan seseorang itu masbuq atau muwafiq?
.
Jawapan:
.
1. Dalam mazhab Syafi‘i, makmum terbahagi kepada dua kategori dari sudut kesempatan membaca al-Fatihah, iaitu masbuq (الْمَسْبُوقُ) dan muwafiq (الْمُوَافِقُ). Masbuq ialah makmum yang tidak memperoleh masa mencukupi untuk membaca al-Fatihah ketika imam masih berdiri, manakala muwafiq memperoleh masa yang mencukupi. Penentuan ini dibuat bagi SETIAP RAKAAT, bukan semata-mata berdasarkan seseorang datang lewat atau terlepas rakaat pertama.
.
2. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan dalam Mughnī al-Muḥtāj, pada perbahasan mengikuti imam:
هَذَا كُلُّهُ فِي الْمَأْمُومِ الْمُوَافِقِ، وَهُوَ مَنْ أَدْرَكَ مَعَ الْإِمَامِ مَحَلَّ قِرَاءَةِ الْفَاتِحَةِ الْمُعْتَدِلَةِ.
Maksudnya: “Semua perbahasan ini berkaitan dengan makmum muwafiq, iaitu orang yang sempat bersama imam dalam tempoh yang mencukupi untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan sederhana.”
.
Pengertian masbuq adalah sebaliknya. Oleh itu, makmum yang masuk pada rakaat pertama juga boleh menjadi masbuq jika imam hampir rukuk dan masa yang diperolehnya tidak mencukupi untuk membaca al-Fatihah.
.
3. Walau bagaimanapun, terdapat khilaf yang lebih khusus dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah: bagaimanakah tempoh yang mencukupi untuk membaca al-Fatihah itu hendak diukur? Adakah mengikut kemampuan bacaan makmum itu sendiri atau berdasarkan kadar bacaan sederhana yang biasa? Perbezaan ini penting kerana seseorang yang lambat membaca mungkin tidak sempat menghabiskan al-Fatihah, sedangkan orang yang membaca dengan kadar sederhana sempat menghabiskannya dalam tempoh yang sama.
.
4. Imam al-Zarkasyi berpendapat bahawa ukuran tersebut hendaklah berdasarkan keadaan bacaan makmum itu sendiri, sama ada cepat atau lambat. Pandangan beliau dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā, sebagaimana dipetik oleh Syeikh Abu Bakr Syata al-Dimyati dalam I‘ānah al-Ṭālibīn:
الَّذِي اعْتَمَدَهُ الزَّرْكَشِيُّ فِي الْمَسْبُوقِ وَالْمُوَافِقِ أَنَّ الْعِبْرَةَ بِحَالِ الشَّخْصِ نَفْسِهِ فِي السُّرْعَةِ وَالْبُطْءِ.
Maksudnya: “Pendapat yang dipegang oleh al-Zarkasyi dalam menentukan masbuq dan muwafiq ialah ukuran berdasarkan keadaan individu itu sendiri, sama ada cepat atau lambat dalam bacaannya.”
.
Menurut pendekatan ini, jika seorang makmum memerlukan 50 saat untuk membaca al-Fatihah tetapi hanya memperoleh 40 saat sebelum imam rukuk, maka dia dikategorikan sebagai masbuq.
.
5. Imam Ibn Hajar al-Haitami pula mentarjihkan bahawa ukuran yang digunakan ialah bacaan sederhana, bukan kadar bacaan makmum yang terlalu cepat atau terlalu lambat. Beliau menyatakan dalam fatwanya, sebagaimana dinukilkan dalam I‘ānah al-Ṭālibīn:
وَالَّذِي رَجَّحْتُهُ فِي شَرْحِ الْإِرْشَادِ وَبَيَّنْتُهُ فِي غَيْرِهِ أَنَّ الْعِبْرَةَ بِالْوَسَطِ الْمُعْتَدِلِ.
Maksudnya: “Pendapat yang aku tarjihkan dalam Syarh al-Irsyad dan aku jelaskan dalam kitab-kitab lain ialah bahawa ukuran tersebut berdasarkan kadar bacaan pertengahan yang sederhana.”
.
Beliau menjelaskan bahawa ukuran ini membolehkan makmum yang memang lambat membaca dikategorikan sebagai muwafiq dan diberikan keuzuran untuk menyempurnakan al-Fatihah. Jika diukur berdasarkan bacaan dirinya sendiri, dia akan menjadi masbuq dan tidak memperoleh hukum keuzuran yang sama.
.
6. Imam Syamsuddin al-Ramli menjelaskan dalam Nihāyah al-Muḥtāj, jilid 2, halaman 227:
وَهُوَ مَنْ أَدْرَكَ مَعَ الْإِمَامِ مَحَلَّ قِرَاءَةِ الْفَاتِحَةِ الْمُعْتَدِلَةِ لَا بِالنِّسْبَةِ لِنَفْسِهِ وَلَا لِقِرَاءَةِ إِمَامِهِ فِيمَا يَظْهَرُ، وَإِنْ رَجَّحَ الزَّرْكَشِيُّ اعْتِبَارَ قِرَاءَةِ نَفْسِهِ.
Maksudnya: “Muwafiq ialah orang yang sempat bersama imam dalam tempoh membaca al-Fatihah secara sederhana, bukan berdasarkan kadar bacaan dirinya sendiri atau bacaan imamnya menurut yang zahir, sekalipun al-Zarkasyi mentarjihkan ukuran bacaan makmum itu sendiri.”
.
Jelaslah bahawa Imam al-Ramli sependapat dengan pentarjihan Imam Ibn Hajar al-Haitami, iaitu menggunakan kadar bacaan sederhana.
.
7. Imam al-Ramli turut menolak takrif yang mengehadkan muwafiq kepada orang yang bertakbiratul ihram bersama imam pada permulaan solat. Beliau menyatakan:
وَقَوْلُ بَعْضِ الشُّرَّاحِ: هُوَ مَنْ أَحْرَمَ مَعَ الْإِمَامِ مَرْدُودٌ، إِذْ أَحْكَامُ الْمُوَافِقِ وَالْمَسْبُوقِ جَارِيَةٌ فِي جَمِيعِ الرَّكَعَاتِ.
Maksudnya: “Pandangan sebahagian pensyarah bahawa muwafiq ialah orang yang bertakbiratul ihram bersama imam adalah ditolak, kerana hukum muwafiq dan masbuq berlaku pada semua rakaat.”
.
Ini bermaksud seseorang yang masuk berjemaah pada rakaat ketiga masih boleh dikategorikan sebagai muwafiq bagi rakaat tersebut jika sempat memperoleh masa yang mencukupi untuk membaca al-Fatihah.
.
8. Khilaf tersebut boleh difahami melalui contoh berikut. Seorang makmum yang lambat membaca memerlukan 50 saat untuk menghabiskan al-Fatihah, sedangkan imam masih berdiri selama 40 saat selepas makmum bertakbir.
.
Jika kadar bacaan sederhana ialah 30 saat, maka menurut ukuran al-Zarkasyi makmum tersebut adalah masbuq kerana masa yang diperolehnya tidak mencukupi berdasarkan bacaannya sendiri.
.
Namun, menurut pentarjihan Ibn Hajar al-Haitami dan al-Ramli, dia ialah muwafiq kerana masa 40 saat sudah mencukupi untuk bacaan sederhana.
.
9. Perbezaan ini memberikan kesan kepada hukum membaca al-Fatihah. Makmum muwafiq yang lambat membaca kerana keuzuran boleh meneruskan bacaannya apabila imam rukuk, dengan mematuhi had ketinggalan yang dibenarkan oleh fuqaha.
.
Adapun makmum masbuq yang tidak sempat membaca al-Fatihah kerana masa yang diperolehnya terlalu singkat, maka imam menanggung bacaan yang tidak sempat disempurnakannya, dengan syarat makmum tersebut tidak menyibukkan diri dengan bacaan sunat sehingga mengabaikan al-Fatihah. Jika dia sempat rukuk bersama imam dengan tumakninah sebelum imam bangun daripada rukuk, rakaat tersebut dikira diperoleh.
.
10. Kesimpulannya, terdapat khilaf dalam mazhab Syafi‘i mengenai ukuran masa yang menentukan seseorang makmum itu masbuq atau muwafiq.
.
Imam al-Zarkasyi mengambil kira kemampuan bacaan individu itu sendiri, manakala Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syamsuddin al-Ramli mentarjihkan kadar bacaan sederhana.
.
Pendapat kedua inilah pendapat muktamad tentang hukum makmum masbuq dan muwafiq. Namun boleh juga menggunakan pendapat pertama bagi memudahkan orang awam.
.
Oleh itu, seseorang yang datang lewat tidak semestinya masbuq dari sudut hukum bacaan al-Fatihah. Penentuannya bergantung kepada tempoh yang diperoleh ketika imam masih berdiri dalam setiap rakaat.
.
MOHD ZAKI BIN ZULKIFLI
3 November 2026