MENYENTUH AL-QURAN DENGAN ANGGOTA SELAIN TANGAN
SOALAN: Haram bagi orang yang berhadas kecil atau berhadas besar menyentuh al-Quran? Adakah larangan tersebut hanya khusus pada sentuhan menggunakan tangan sahaja, ataupun termasuk seluruh anggota badan ?
.
JAWAPAN:
.
1. Haram ke atas orang yang berhadas kecil dan berhadas besar menyentuh al-Quran. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
﴿لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ﴾
(Surah al-Waqi‘ah: 79)
Maksudnya:
“Tidak ada yang menyentuhnya melainkan orang-orang yang disucikan.”
2. Haram menyentuh al-Quran bukan hanya dengan tangan atau anggota wuduk sahaja, bahkan dengan seluruh tubuh selagi mana ia dianggap menyentuh menurut uruf.
Kata Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam hasyiahnya ke atas Fath al-Qarib:
﴿وَالْمُرَادُ مَسُّهُ بِأَيِّ جُزْءٍ، لَا بِبَاطِنِ الْكَفِّ فَقَطْ، كَمَا تَوَهَّمَهُ بَعْضُهُمْ﴾
Maksudnya:
“Yang dimaksudkan dengan menyentuh itu ialah menyentuh dengan mana-mana bahagian anggota, bukan hanya dengan tapak tangan sahaja, sebagaimana yang disangka oleh sebahagian orang.”
3. Kata Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam kitab العقد الثمين شرح منظومة ستين:
﴿وَلَوْ بِسِنٍّ وَظُفُرٍ وَبِحَائِلٍ، وَلَوْ ثَخِينًا، حَيْثُ يُعَدُّ مَاسًّا؛ لِأَنَّهُ يُخِلُّ بِالتَّعْظِيمِ﴾
Maksudnya:
“Walaupun menyentuh dengan gigi, kuku, atau dengan lapik sekalipun tebal, apabila pada uruf ia masih dianggap menyentuh, maka hukumnya tetap haram kerana ia menyalahi tuntutan memuliakan al-Quran.”
4. Kesimpulan:
Menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadas kecil atau besar adalah haram menurut mazhab Syafi‘i. Larangan tersebut tidak hanya terbatas kepada sentuhan menggunakan tangan, bahkan meliputi seluruh anggota tubuh, sama ada secara langsung atau melalui lapik, selagi mana pada pandangan uruf ia masih dianggap sebagai menyentuh al-Quran. Hal ini menunjukkan betapa syariat sangat menekankan adab dan pengagungan terhadap kalam Allah SWT.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan