SYARAT AGIHAN DAGING KORBAN KEPADA FAKIR MISKIN
.
SOALAN: Ust utk bahahian fakir miskin boleh tak kami bg daging sahaja tanpa organ dalaman.
Tahun lps kami bg 800 gm daging Dan 200 gm organ.
Cadang tahun ini nak bg 1 kg daging sahaja bg mempercepat kan proses edaran.
.
JAWAPAN:
.
1.-Boleh diberikan kepada fakir miskin hanya daging sahaja tanpa organ dalaman. Tidak disyaratkan mesti ada campuran hati, paru, limpa dan sebagainya dalam agihan korban.
.
2- Bahkan jika tahun ini pihak tuan ingin memberikan 1 kg daging sepenuhnya tanpa organ dalaman demi mempercepatkan proses agihan, maka itu adalah harus dan baik, kerana lebih mudah diurus serta biasanya lebih bermanfaat kepada penerima.
.
3- Namun, dalam mazhab Syafi‘i, bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin hendaklah diberikan dalam bentuk daging mentah dan dimiliki oleh mereka. Disebutkan dalam kitab Minhaj al-Qawim karangan syeikh Ibn Hajar al-Haitami:
وَيَجِبُ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِالْجُزْءِ الْمَذْكُورِ حَالَ كَوْنِهِ «نَيِّئًا» يُمَلِّكُهُ مُسْلِمًا حُرًّا أَوْ مُكَاتَبًا، وَالْمُعْطِي غَيْرُ السَّيِّدِ فَقِيرًا أَوْ مِسْكِينًا، فَلَا يَكْفِي إِعْطَاؤُهُ مَطْبُوخًا وَلَا قَدِيدًا وَلَا جَعْلُهُ طَعَامًا وَدُعَاؤُهُ أَوْ إِرْسَالُهُ إِلَيْهِ؛ لِأَنَّ حَقَّهُ فِي تَمَلُّكِهِ لَا فِي أَكْلِهِ، وَلَا تَمْلِيكُ غَيْرِ اللَّحْمِ مِنْ نَحْوِ كَرِشٍ وَكَبِدٍ، وَلَا تَمْلِيكُ ذِمِّيٍّ كَمَا فِي صَدَقَةِ الْفِطْرِ.
Maksudnya:
“Wajib disedekahkan bahagian yang disebut tadi dalam keadaan mentah, dengan memilikkannya kepada seorang Muslim yang merdeka atau mukatab daripada golongan fakir atau miskin. Maka tidak memadai memberikannya dalam keadaan sudah dimasak, atau dijadikan makanan lalu dijemput mereka makan, atau dihantar kepada mereka, kerana hak mereka ialah memiliki daging tersebut, bukan sekadar memakannya. Dan tidak memadai memberikan selain daging seperti perut atau hati, serta tidak boleh diberikan kepada kafir zimmi sebagaimana zakat fitrah.”
4-Jadi syarat sedekah bahagian korban kepada fakir miskin yang disebut dalam teks tersebut ada empat:
1. Hendaklah diberikan dalam keadaan mentah (نيئًا).
2. Hendaklah diberikan dengan cara pemilikan, iaitu menjadi milik penerima.
3. Hendaklah diberikan kepada fakir atau miskin Muslim.
4. Hendaklah daripada bahagian daging, bukan organ dalaman seperti hati, paru atau perut.
Maka tidak memadai sekadar memasak lalu menjamu mereka makan, atau memberi organ dalaman sahaja tanpa daging.
5-Kesimpulannya, cadangan memberi 1 kg daging sahaja kepada fakir miskin adalah lebih baik dan menepati maksud agihan korban, bahkan lebih mudah untuk urusan penyediaan dan pengagihan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan