MUJARRABAT DALAM RAWATAN ISLAM
.
1-Sebahagian golongan pada hari ini dilihat terlalu mudah menolak dan mengingkari amalan bacaan ayat-ayat tertentu dalam rawatan Islam hanya kerana ia tidak dilakukan secara khusus oleh Rasulullah ﷺ. Mereka menganggap setiap amalan yang tidak mempunyai contoh khusus daripada Nabi ﷺ sebagai sesuatu yang tidak boleh diamalkan. Sedangkan para ulama sejak zaman salaf telah membahaskan bahawa penggunaan ayat al-Quran, doa dan ruqyah sebagai ikhtiar rawatan adalah luas selagi tidak mengandungi unsur syirik, khurafat dan perkara yang bercanggah dengan syariat. Bahkan para sahabat, tabi‘in dan imam-imam mujtahid sendiri ada melakukan beberapa amalan yang lahir daripada ijtihad, pengalaman dan التجربة (tajribah/mujarrabat), lalu diakui serta tidak diingkari oleh para ulama.
2-“Mujarrabat” ialah amalan, doa, ayat al-Quran atau ruqyah yang telah dicuba oleh para ulama dan orang soleh lalu didapati memberi manfaat dengan izin Allah Taala. Asal kepada perkara ini ialah hadis sahih kisah Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه yang meruqyah seorang lelaki yang disengat dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Rasululah bertanya: dimana kamu tahu bahwa ia adalah ruqyah? Ini menunjukkan bahawa bacaan itu dibaca berdasarkan ijtihad Abu Sai'd al-Khudri sendiri. Rasulullah ﷺ bukan sahaja tidak mengingkari perbuatan tersebut, bahkan Baginda mengakui dan memuji ijtihad beliau. Hadis ini menunjukkan bahawa sebahagian ruqyah dan amalan tertentu boleh berlaku melalui pengalaman dan ijtihad para ulama selagi tidak bercanggah dengan syariat.
3-Ibn al-Qayyim رحمه الله turut menyebut bahawa beliau sendiri berkali-kali membaca Surah al-Fatihah pada tempat sakit dan pada air zamzam, lalu mendapat kesembuhan dan kekuatan yang luar biasa dengan izin Allah. Beliau menegaskan bahawa perkara ini telah dicuba berkali-kali dan memberi manfaat yang besar berdasarkan kekuatan iman dan keyakinan seseorang kepada Allah Taala.
4-Demikian juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما bahawa bagi wanita yang sukar bersalin, dituliskan doa dan beberapa ayat al-Quran pada kertas lalu diberikan minum sebagai satu bentuk ikhtiar rawatan. Imam Ahmad bin Hanbal رحمه الله juga melakukan perkara yang hampir sama. Beliau menulis doa dan ayat tertentu untuk kesukaran bersalin, demam dan gangguan ketakutan ketika berlaku musibah. Ini menunjukkan bahawa para ulama besar terdahulu tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang tercela selagi mana ia berasaskan al-Quran, doa dan tawakkal kepada Allah.
5-Dalam kitab al-Kalim at-Toyyib karangan Ibn Taymiyyah pula disebut bahawa bagi haiwan tunggangan yang liar atau sukar dikawal, dibacakan pada telinganya ayat:
{أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ}
Maksudnya: “Patutkah mereka mencari agama selain agama Allah, padahal kepada-Nya tunduk segala yang di langit dan di bumi sama ada dengan rela atau terpaksa, dan kepada-Nya mereka dikembalikan.”
6-Cara yang disebut oleh para ulama ialah membaca ayat ini pada telinga haiwan tersebut dengan penuh keyakinan dan tawakkal kepada Allah. Yunus bin Ubaid berkata bahawa mereka telah mencubanya dan haiwan itu menjadi tenang dengan izin Allah. Ibn al-Qayyim juga menyebutkan di dalam kitabnya Zadul Maad antara mujarrabat bagi sakit gigi ialah membaca dan menulis beberapa ayat al-Quran pada bahagian pipi yang sakit sebagai ikhtiar rawatan.
7-Kesimpulannya, penggunaan ayat al-Quran, doa dan ruqyah sebagai ikhtiar rawatan merupakan perkara yang telah diamalkan dan diakui oleh ramai ulama salaf dan khalaf. Selagi amalan tersebut tidak mengandungi unsur syirik, khurafat atau perkara yang bercanggah dengan syariat, maka ia termasuk dalam ruang ikhtiar yang diharuskan. Segala manfaat dan kesembuhan hakikatnya datang daripada Allah Taala semata-mata, manakala ayat-ayat al-Quran dan doa hanyalah sebab serta wasilah yang digunakan oleh para hamba untuk mendekatkan diri dan memohon pertolongan daripada-Nya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan