LEMBU CACAT DINAZARKAN SEBAGAI KORBAN?
.
SOALAN:
Lembu patah kaki ketika direbahkan hendak sembelih. Lalu tuannya ta'yinkan jadi nazar lembu itu, adakah sah di buat korban?
.
JAWAPAN:
1. Salah satu syarat sah binatang korban ialah tidak mempunyai kecacatan yang ketara. Antara kecacatan yang tidak sah dijadikan korban ialah patah kaki atau tempang yang jelas.
.
2. Namun, ada sebahagian orang menggunakan helah dengan menazarkan binatang yang telah cacat itu sebagai korban. Dengan sebab nazar tersebut, binatang itu wajib disembelih walaupun mempunyai aib atau kecacatan.
.
3. Walaupun ia wajib disembelih dan mengambil hukum korban nazar pada kewajipan menyedekahkan seluruh dagingnya kepada fakir miskin, namun ia tetap tidak dikira sebagai korban yang sah. Maknanya, dia tidak mendapat pahala ibadah korban.
.
4. Di dalam kitab Al-Khulasah fi Ahkam al-Udhiyyah disebutkan:
لو نذر شخص التضحية بمعيبة بالعيوب المؤثرة السابقة، أو أوجبها على نفسه بالجعل وهي معيبة فإنه يلزمه ذبحها في وقت الأضحية، وتجري عليها أحكام الأضحية في الصرف للفقراء، ومع ذلك فهي لا تحسب أضحية له، بخلاف ما لو نذر التضحية بسليمة ثم حدث بها عيب وضحى بها فتحسب له أضحية، وتثبت له أحكام التضحية.
Maksudnya: Jika seseorang bernazar untuk berkorban dengan binatang yang telah cacat dengan kecacatan yang memberi kesan kepada sah korban, maka wajib dia menyembelihnya pada waktu korban dan wajib diagihkan kepada fakir miskin sebagaimana hukum korban nazar. Namun begitu, ia tidak dikira sebagai ibadah korban yang sah baginya. Berbeza jika dia menazarkan binatang yang asalnya sempurna, kemudian berlaku kecacatan selepas itu, maka korban tersebut tetap dikira sah.
.
5. Kesimpulannya, binatang yang telah cacat seperti patah kaki tidak sah dijadikan korban. Jika selepas cacat baru dinazarkan sebagai korban, maka ia wajib disembelih kerana nazar dan wajib disedekahkan kepada fakir miskin, namun ia tidak dikira sebagai ibadah korban yang sah serta tidak memperoleh pahala korban. Adapun jika binatang itu dinazarkan ketika masih sempurna, kemudian berlaku kecacatan selepas itu, maka korban tersebut tetap sah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan