MELURUSKAN FAHAMAN QADHA’ DAN QADAR
.
1. Dalam Hadis Jibril, ketika menjelaskan rukun iman, Nabi ﷺ bersabda:
أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَأَنْ تُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ.
Maksudnya: “Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, Hari Akhirat, dan engkau beriman kepada qadar, sama ada yang baik mahupun yang buruk.” (Riwayat Muslim)
Perhatikan bahawa pada rukun iman yang keenam, Nabi ﷺ mengulangi sekali lagi ungkapan وَأَنْ تُؤْمِنَ sebelum menyebut بِالْقَدَرِ.
.
2. Para ulama menjelaskan bahawa hikmah pengulangan tersebut adalah supaya umat Islam benar-benar memberikan perhatian terhadap rukun iman yang keenam ini. Ramai manusia tergelincir dalam memahami persoalan qadha’ dan qadar.
.
3. Pegangan Ahlus Sunnah dalam memahami hubungan antara ikhtiar manusia dan ketentuan Allah ialah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan Syeikh Ahmad as-Sawi dalam hasyiah mereka ke atas kitab Jauharat al-Tawhid:
مُخْتَارٌ ظَاهِرًا وَمَجْبُورٌ بَاطِنًا
.
4. Maksudnya, pada zahirnya manusia mempunyai pilihan dan diperintahkan berusaha serta berikhtiar. Namun pada hakikatnya, segala yang berlaku adalah dengan kehendak dan ciptaan Allah SWT.
.
5. Justeru, ilmu akidah hendaklah dipelajari secara talaqqi dengan guru yang berautoriti agar tidak tersalah faham dalam perkara-perkara yang halus seperti qadha’ dan qadar.
.
والله أعلم بالصواب
Tiada ulasan:
Catat Ulasan