HUKUM ORANG ISLAM MENCUCI KUIL DAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I
.
1. Hukum orang Islam mencuci kuil adalah HARAM sekiranya pekerjaan tersebut bertujuan membantu penyediaan atau pelaksanaan upacara penyembahan agama lain.
.
2. Imam al-Syafi‘i رحمه الله menyebut dalam kitab al-Umm:
وَأَكْرَهُ لِلْمُسْلِمِ أَنْ يَعْمَلَ بِنَاءً أَوْ نِجَارَةً أَوْ غَيْرَهُ فِي كَنَائِسِهِمْ الَّتِي لِصَلَوَاتِهِمْ.
Maksudnya: “Aku tidak menyukai orang Islam melakukan kerja pembinaan, pertukangan kayu atau pekerjaan lain di gereja mereka yang digunakan untuk sembahyang.”
Perkataan أَكْرَهُ di sini tidak semestinya bermaksud makruh tanzih, kerana lafaz karahah dalam penggunaan ulama terdahulu juga boleh membawa maksud pengharaman.
.
3. Imam Syamsuddin al-Ramli رحمه الله menyebut dalam Nihayah al-Muhtaj:
كَعِمَارَةِ نَحْوِ الْكَنَائِسِ الْمَقْصُودَةِ لِلتَّعَبُّدِ وَتَرْمِيمِهَا ... فَبَاطِلٌ لِكَوْنِهِ إِعَانَةً عَلَى مَعْصِيَةٍ.
Maksudnya: “Seperti pembinaan gereja yang dimaksudkan untuk ibadat serta pembaikannya ... maka wakaf tersebut batal kerana ia merupakan bantuan kepada maksiat.”
Rujukan: Nihayah al-Muhtaj, 5/369.
.
4. Imam Ibn Hajar al-Haytami رحمه الله pula menyebut dalam Tuhfah al-Muhtaj:
فَإِنْ وَقَفَ مُسْلِمٌ أَوْ ذِمِّيٌّ عَلَى جِهَةِ مَعْصِيَةٍ كَعِمَارَةِ نَحْوِ الْكَنَائِسِ الَّتِي لِلتَّعَبُّدِ أَوْ تَرْمِيمِهَا ... فَبَاطِلٌ لِأَنَّهُ إِعَانَةٌ عَلَى مَعْصِيَةٍ.
Maksudnya: “Jika seseorang Islam atau zimmi mewakafkan harta bagi tujuan maksiat seperti membina gereja yang digunakan untuk ibadat atau membaikinya ... maka wakaf itu batal kerana ia merupakan bantuan kepada maksiat.”
Rujukan: Tuhfah al-Muhtaj, 6/247.
.
5. Dalil daripada al-Quran. Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
.
6. Kesimpulan hukum:
HARAM: Membersihkan berhala, altar atau ruang penyembahan dengan tujuan menyediakan atau membantu pelaksanaan upacara keagamaan yang bertentangan dengan Islam.
Boleh membersihkan kawasan awam, membuang sampah atau membantu membersihkan kawasan akibat banjir dan bencana, selagi tidak bertujuan membantu ritual keagamaan atau melibatkan perbuatan lain yang dilarang syarak.
.
KESIMPULAN: Islam menyuruh kita menghormati penganut agama lain, tetapi tidak membenarkan kita membantu pelaksanaan ibadat yang bercanggah dengan akidah Islam. Membezakan antara bantuan kemanusiaan dengan bantuan keagamaan adalah penting supaya hukum tidak disamaratakan.
MOHD ZAKI BIN ZULKIFLI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan