DOSA PATUNG WALAUPUN TIDAK DISEMBAH
.
Sebahagian masyarakat menyangka bahawa patung hanya diharamkan apabila dijadikan sembahan. Sebenarnya, membuat patung berbentuk lengkap manusia atau haiwan adalah haram sekalipun sekadar untuk perhiasan dan tidak disembah. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan bahawa menghasilkan gambaran makhluk bernyawa termasuk dalam larangan yang berat. Begitu juga menjadikan patung tersebut sebagai hiasan. Namun, terdapat pengecualian yang dibincangkan ulama, antaranya anak patung permainan kanak-kanak. Perlu dibezakan antara menyembah patung yang merupakan perbuatan syirik dengan membuat patung yang dilarang syarak tetapi tidak semestinya membawa kepada kekufuran.
.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya antara manusia yang paling berat azabnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang membuat gambar makhluk bernyawa.” (Riwayat al-Bukhari, hadis 5950; Muslim, hadis 2109).
.
Hadis ini menunjukkan bahawa larangan tersebut bukan semata-mata berkaitan penyembahan berhala, bahkan melibatkan perbuatan menghasilkan bentuk makhluk bernyawa yang dilarang syarak. Sesuatu perbuatan tidak menjadi harus hanya kerana pelakunya tidak berniat melakukan syirik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan